Wednesday, 13 May 2015

SYIRIK TANPA SEDAR.

Assalamualaikum wbt....tazkirah khamis..

Kita harus lebih berhati-hati kerana dibimbangi tanpa disedari kita tergolong dalam melakukan perbuatan syirik seperti perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadahnya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Amal ibadah kita kepada Allah SWT hendaklah dilakukan secara ikhlas dengan bersungguh-sungguh meyakini keesaan-Nya. Amalan kita bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu.

Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal. Perbuatan bertujuan menunjuk-nunjuk sama ada secara sengaja atau tidak, amat dimurkai Allah SWT, malah Rasulullah SAW menegur perbuatan itu kerana boleh membawa kepada perbuatan yang merosakkan hati manusia.

Allah SWT menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi." (Surah az-Zumar, ayat 65)

Bina kesedaran, tambah pengetahuan... Mari kita bersama membina kesedaran melalui ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan supaya tidak terjerumus dengan perbuatan bukan sekadar sia-sia tetapi membawa kepada dosa. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan supaya tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan. Adalah merugikan ibadah kita lakukan secara bersungguh-sungguh atau sedekah jariah yang sekian banyak, jika amalan itu bersulam perbuatan riak yang menjurus kepada syirik kerana telah banyak disebut dalam hadis dan al-Quran bahawa amalan syirik hanya membawa kepada kebinasaan serta kerugian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)

Wallahuaklam...

No comments:

Post a Comment